Adakah kita sekadar memerhati?

Aku lampirkan sebuah rencana yang pernah aku submit pada lecturer aku,Cik Mazni beberapa minggu lepas..Berbekalkan rujukan via internet yang aku search based on newspaper online..hanya ini yang aku mampu kongsikan buat masa sekarang untuk renungan bersama..beberapa keping gambar ini aku save dari just khai dot com..


Kejam,zalim dan tidak berperikemanusiaan.Hanya itulah yang boleh dikatakan apabila melihat deretan mayat 11 jemaah yang mati ditembak ketika solat isyak di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, Sungai Golok kira-kira pukul 8.50 malam (waktu Malaysia ) pada 8 Jun lalu.

Dalam kejadian berdarah itu,lima atau enam orang lelaki berbaju hitam dan bertopeng melepaskan tembakan terhadap sekumpulan jemaah dari dua pintu masjid dan mereka dikatakan masuk ke dalam masjid serta melepaskan beberapa lagi das tembakan bagi memastikan jemaah terbabit benar-benar mati.Tragedi itu mengakibatkan kematian 11 jemaah termasuk imam manakala 19 yang lain cedera.

Umum maklum bahawa setelah hampir lima tahun selepas insiden Tak Bai yang mengakibatkan kematian 85 penunjuk perasaan beragama Islam dan dilihat sebagai satu daripada pencetus konflik di Selatan Thai, sekali lagi peristiwa menyedihkan sebegini berulang.Namun kali ini ia lebih menyedihkan kerana berlaku ketika mereka ini sedang menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim dan akhirnya tanpa disangka-sangka terkorban tanpa mengetahui siapa dalang sebenar di sebalik tragedi ini.

Umat Islam di wilayah-wilayah selatan Thailand kini terpaksa akur bahawa keadaan mereka kembali kepada asal sebagaimana semasa Thaksin berkuasa dahulu.Namun apa yang memusykilkan kejadian ini berlaku selepas Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melakukan lawatan sehari ke negara ini pada 7 Jun lepas. Lawatan tersebut yang juga merupakan yang pertama bagi beliau sejak menyandang jawatan tersebut pada 17 Disember tahun lepas walaupun singkat tetapi sangat bermakna.Ini kerana fokus utama yang ditumpukan ialah isu di Selatan Thailand yang berlarutan sejak sekian lama malah beliau turut menyatakan kesungguhan untuk memperbaharui komitmen penyelesaian.

Mengimbas pengakuan Abhisit bahawa kesilapan-kesilapan dasar berhubung masalah Selatan Thailand sebagai punca permusuhan menunjukkan keikhlasan beliau untuk memulihkan keadaan.Janji beliau untuk mengambil pendekatan perdamaian dalam menyelesaikan masalah tersebut merupakan sesuatu yang dinanti-nantikan bukan sahaja penduduk di Selatan Thai tetapi majoriti penduduk negara ini yang sememangnya bersimpati dengan nasib mereka.

Dunia pula hanya mampu melihat umat Islam di Selatan Thailand dizalimi dan dikasari saban hari namun tiada siapa yang berani bersuara menentang kezaliman ini sedangkan konflik di Gaza dan Bosnia turut berlarutan tanpa tindakan berani PBB. Sebagai jiran kepada Thailand,adakah kita hanya sekadar memerhati setitis demi setitis darah umat Islam tumpah tanpa sebarang pembelaan? Tegakah kita melihat gambar jenazah umat Islam yang dibunuh dengan kejam tanpa belas di paparan koran dan televisyen?

Secara rawak,semua umat Islam membenci dan mengutuk kejadian dan konflik di Selatan Thailand yang masih tiada jalan akhir dan penoktahnya. Ada pendapat menyatakan bahawa autonomi untuk tiga wilayah bergolak di Selatan Thai dan pengagihan kuasa pusat kepada rakyat tempatan adalah cara terbaik untuk menyelesaikan konflik yang berpanjangan di situ.

Seorang cendekiawan Thai dan penyokong keamanan Praves Wasi, dari Institut King Prajadhipok berkata struktur kuasa pada masa ini yang berpusat di Bangkok tidak sesuai untuk masyarakat majmuk seperti Thai.Tambah beliau, punca sebenar yang menyebabkan konflik di situ berpanjangan ialah penggunaan satu struktur kuasa di negara itu. "Perlu ada pentadbiran bersama melalui pengagihan kuasa pusat. Bukan hanya di tiga wilayah selatan itu, tetapi juga di wilayah lain kerana kita mempunyai masyarakat yang pelbagai dengan budaya, agama dan bahasa yang berbeza," katanya.

Berbeza pula dengan pandangan Deep South Watch,sebuah badan penyelidikan bebas negara itu di mana ia mengatakan konflik jauh di selatan Thailand ini hanya menunggu masa untuk meletus lebih besar lagi.Dalam satu laporan yang diterbitkan sebelum ini,badan penyelidikan ini menyatakan bahawa sejak 2004 kebangkitan di selatan menyebabkan 3,287 orang terbunuh dan belanjawan negara sebanyak 109 bilion
Baht disia-siakan untuk menangani konflik ini.

Satu persoalan,adakah kita sekadar memerhati dan sanggup melihat peristiwa itu berulang lagi? Jangan bersandarkan ramalan apa yang akan terjadi selepas ini ataupun selepas itu membuatkan kita hanya tersandar menunggu berita kematian berikutnya tanpa sebarang huluran bantuan. Sebagaimana intipati yang dipetik dari khutbah yang disampaikan oleh khatib di Masjid Jamek,Pattani pada 14 Ogos lalu,” Marilah kita bersatu atas nama Islam dan janganlah mudah terpedaya dengan situasi dan usaha untuk memecah-belahkan kita.''

0 GosiP bErduRi:

Post a Comment